• Farah Salim

Fahmi cadang tujuh tindakan wajar diambil basmi scammer, bantu mangsa penipun


Fahmi (dua dari kanan) pada sidang media. - Ihsan gambar Facebook Fahmi Fadzil.

19 September 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR:  Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mencadangkan tujuh tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi membantu mangsa, memperkemas sistem dan mengelak lebih ramai menjadi mangsa scammer.


Beliau berkata, langkah-langkah itu perlu diambil segera kerana setiap tahun secara purata 20,000 orang menjadi mangsa jenayah scammer dan lebih RM660 juta dicuri oleh scammer-scammer ini.


“Malangnya sehingga ke hari ini, kita belum melihat atau mendengar langkah-langkah Kerajaan yang mampu mengurangkan jumlah kes scammer dalam negara kita.


“Memang ada langkah-langkah yang perlu diambil oleh pendeposit atau pemegang akaun, contohnya dengan tidak menekan sebarang pautan dari pihak yang tidak diketahui atau memuat turun sebarang aplikasi yang tidak menggunakan Apple App Store, Google Play atau Huawei AppGallery.


“Tetapi pihak Kerajaan dan juga bank-bank mempunyai kewajipan moral mengambil tindakan proaktif, kerana jenayah-jenayah scammer ini berasaskan penipuan atau penyamaran identiti yang berniat jahat (malicious intent),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Sehubungan itu Fahmi yang juga Ketua Penerangan Keadilan berharap tujuh tindakan yang dicadangkannya itu dapat dilaksana segera bagi membantu memastikan duit simpanan rakyat kekal selamat, dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perbankan dalam talian tidak luntur.


Beliau berkata, antara cadangan itu ialah mewujudkan pusat sehenti bantuan mangsa scammer, mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian dan mewujudkan satu mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan.


Katanya, cadangan mewujudkan pusat sehenti bantuan mangsa scammer itu melibatkan pelbagai agensi berkaitan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, serta satu pusat koordinasi anti-scammer pelbagai agensi berpangkalan secara fizikal di Bank Negara Malaysia.


“Kedua, mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian iaitu dari SMS TAC kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti, contohnya pengesahan berdasarkan hanya peranti-peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank, serta mengarah bank-bank atau institusi kewangan melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi yang melibatkan jumlah besar, berulang dan bagi transaksi diluar kebiasaan aktiviti akaun bank tersebut


“Ketiga, wujudkan satu mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan (Recovery Fund) yang sedang diusahakan Monetary Authority of Singapore, agar mangsa scammer yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin, serta meminda akta-akta berkaitan, contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta 642) supaya PIDM dapat menjamin atau menyediakan insuran dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer,” katanya.


Cadangan keempat ialah, mengarahkan semua syarikat telekomunikasi melalui SKMM membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon mirip skrip dan dialog scammer dengan amaran untuk tidak mengendahkan panggilan scammer seperti itu;


“Kelima, mewajibkan bank-bank dan serta mana-mana institusi kewangan lain yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-wallet) untuk menerbitkan di dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes scam serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis, supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet dan dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka.


“Keenam, mengadakan perbincangan segera dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalahguna oleh scammer untuk aktiviti jenayah, bagi mengambil langkah-langkah pantas menghalang platform-platform tersebut dari terus disalahguna untuk aktiviti scammer.


“Ketujuh, segera mengenalpasti, menahan dan mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan scammer, menempat atau melindungi penjenayah scammer, serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara,” katanya.