top of page

Fahmi: Politik sudah selesai, kini masa tunjuk semangat patriotik

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 18, 2023
  • 1 min read

18 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SEREMBAN: Rakyat Malaysia digesa untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat dan kenderaan mereka, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.


Beliau berkata, semangat cintakan negara tidak boleh hanya timbul sewaktu sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang semata-mata, tetapi harus dipupuk sepanjang masa.


"Kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Negeri Sembilan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah ingatkan bahawa (masa untuk) berpolitik selesai, dan marilah kembali bersama sebagai sebuah negara maju ke depan," katanya pada majlis pelancaran Program Semarak Gemilang Malaysia MADANI OHMYDIN! Meriah Bersama di MYDIN Seremban 2.


Beliau turut menyeru rakyat Malaysia di pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, untuk sentiasa dipahatkan dengan rasa cinta kepada negara.


"Saya harap lebih ramai mengibarkan Jalur Gemilang..Dulu angkat bendera parti, sekarang bendera Malaysia," katanya.


Beliau juga menggalakkan semua pihak termasuk syarikat untuk bersama-sama dengan kerajaan, melaksanakan program yang mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara, sekali gus menyuburkan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat.


"Peluang kerjasama strategik seperti yang terjalin hari ini, perlulah diteruskan pada masa akan datang dengan menerokai peluang dan pendekatan program yang lebih pelbagai. Pendekatan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di kompleks beli-belah perlu dipergiat," katanya.


Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page