Faizal Azumu dikecam adakan upacara pelancaran Skuad BanjirFaizal Azumu dikecam adakan upacara pelancaran Skuad Banjir
top of page
  • nabalunews

Faizal Azumu dikecam adakan upacara pelancaran Skuad Banjir


20 Disember 2021

Oleh Nur Syafiqah Abdullah


KUALA LUMPUR: Di saat mangsa banjir berdukacita dan memerlukan bantuan daripada kerajaan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Faizal Azumu sempat pula menyempurnakan majlis pelancaran Skuad Banjir.


Netizen yang meluahkan rasa geram di laman Twitter mengecam tindakan menteri ini yang seolah-olah tiada rasa cemas kerana masih sempat berpakaian segak untuk merasmikan upacara yang bertujuan untuk membantu mangsa banjir.


Melihat pada video ucapan Faizal yang ditangkap layar melalui Instagram dan tular di Twitter, pelancaran skuad ini bertujuan untuk meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir.


Namun, netizen berpendapat bahawa misi bantuan itu sepatutnya dijalankan secepat mungkin tanpa perlu mengadakan upacara demikian kerana beribu-ribu mangsa sedang terkandas pada ketika itu.


Rata-rata mereka juga menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengadakan upacara tersebut.


“Hanya di Malaysia, rakyat sedang terkandas di atas bumbung tanpa makanan dan air selama dua hari, menteri membuat majlis pembukaan untuk operasi penyelamatan. Kerajaan Gagal,” kata satu pengguna.


Sementara itu, satu lagi pengguna berkata: “Saya tidak terkata-kata. Masalah kita bukan sahaja pemimpin yang tidak cekap, tetapi juga satu sistem yang membenarkan ketidakcekapan ini untuk berkembang.”


Seorang lagi pengguna berkata daripada membuat majlis pelancaran dan menggantungkan ‘banner’ kementerian Faizal mungkin boleh mengumumkan perkara itu melalui poster untuk meraih bantuan sukarelawan.


“Elok lagi masa yang digunakan untuk majlis perasmian ini, digunakan untuk membantu orang yg terlibat banjir. Ni membuang masa namanya. Tiada kepentingan pun majlis ni,” katanya.


Pada Sabtu lalu, banjir besar telah melanda lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia di mana jumlah mangsa banjir dikenalpasti setakat jam 10 pagi hari ini adalah sebanyak 44,652 mangsa.


Jumlah yang dinyatakan itu turut membabitkan 8,617 kanak-kanak dan 1,490 bayi. Turut terkesan dalam bencana berkenaan ialah 1,503 warga emas serta 293 mangsa dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).


Setakat hari, sebanyak lima kematian juga turut dicatat akibat banjir itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page