Fakulti Psikologi & Kerja Sosial Ums Langkah Ke Hadapan: Ai Jadi Pemangkin Transformasi Akademik
- nabalunews
- 41 minutes ago
- 1 min read

13 September 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh langkah ke arah transformasi digital apabila Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial menganjurkan kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) sempena Minggu Penyelidikan Fakulti, semalam.
Kursus diseliakan oleh Ts. Gs. Mahadthir Asbollah dan disertai oleh pensyarah, kakitangan pentadbiran serta kepimpinan fakulti.
Penganjuran itu bertujuan memberi pendedahan kepada teknologi AI sekali gus memperkukuhkan keupayaan warga akademik dalam mendepani cabaran era digital.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Prof. Dr. Chua Bee Seok turut menzahirkan penghargaan atas usaha murni itu dan menyifatkan kursus berkenaan sebagai pemangkin kepada transformasi akademik yang menyeluruh serta berimpak tinggi.
Menurutnya, AI bukan sahaja merupakan teknologi, tetapi ia adalah pemangkin kepada masa depan pendidikan yang lebih inklusif, kreatif dan relevan.
“Dengan adanya program sebegini, warga fakulti akan lebih bersedia untuk menerapkan elemen inovasi dalam pengajaran, penyelidikan, serta khidmat kepada masyarakat.

“Saya yakin, pendedahan ini akan membuka ruang baharu kepada penyelidikan antara disiplin, memperkaya pendekatan psikologi dan kerja sosial dengan teknologi, serta memperkukuh kedudukan fakulti sebagai peneraju dalam bidang yang berorientasikan manusia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa UMS sentiasa menyokong inisiatif yang mampu meningkatkan kapasiti warga akademik agar terus seiring dengan perkembangan global.

Penganjuran kursus ini selaras dengan hasrat UMS untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang inovatif, progresif dan berpandangan jauh, khususnya dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan.