Fateeha Nasleen dan Qahirah Maisarah wakili Sabah ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Fateeha Nasleen dan Qahirah Maisarah wakili Sabah ke Pertandingan Akhir Bintang Kecil Kebangsaan

24 September 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU:  Dua peserta terbaik Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah 2022, Adik Fateeha Nasleen Suhailin (Keningau) dan Qahirah Maisarah Syahlil (Sipitang) akan mewakili Sabah ke Pertandingan Akhir Kebangsaan, pada 24 Disember ini, di Kuching, Sarawak.


Dengan kemenangan itu mereka masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2000, piala, hadiah iringan, dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Tah Nia Haji Jaman yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohammad Haji Alamin.


Enam finalis cilik berentap dalam Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah 2022 yang berlangsung di The Oval, Imago Shopping Mall, hari ini.

Mereka ialah Andrey Mark Rikson mewakili Kota Marudu, Olanda Iva Nelson (Tambunan), Nickyta Nadine Rogy Pang (Wilayah Persekutuan Labuan), Qahirah Maisarah Syahlil (Sipitang), Jesse Eamanda Jackhlee (Tamparuli) dan Fateeha Nasleen Suhailin (Keningau).


Setiap finalis mempersembahkan sebuah lagu solo dalam Bahasa Melayu dan sebuah lagu Bahasa Inggeris yang dinyanyikan secara Medley yang diiringi sepenuhnya Pemuzik RTM Sabah.

Pertandingan ini merupakan usaha Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik untuk mencungkil bakat nyanyian yang berkualiti dalam kalangan kanak-kanak berumur 11 tahun ke bawah, sekaligus menjadi platform kepada mereka untuk menceburi bidang seni suara.


Seramai 213 bakat cilik telah menghadiri sesi ujibakat di Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Namun, hanya enam peserta yang layak bertanding ke Peringkat Zon Sabah bagi memilih dua peserta terbaik mewakili Sabah ke Pertandingan Akhir Kebangsaan.


Pertandingan Bintang Kecil diadakan sejak tahun 1998. Antara pemenang yang telah mengharumkan nama negeri Sabah dalam pertandingan ini di peringkat kebangsaan, ialah Esther Applunius Chin [1998], Siti Noor Syahedah Yusuf [2002], Nurul Jannah Jefrie [2003], Heidi Vannesa Maruning [2004], Nur Shahirah Azuwa Sahiron [2005], Mohd Imanuddin Supangat [2008], Nurul Syahirah Dzulfikri [2009], Presley Petrus [2010], Nur Shadina Nadiah Jamiridin [2012] dan Feli Stacy Paimin [2016].



bottom of page