Festival Burung Borneo promosi pelancongan dan menarik penggemar pemerhati burung dari pelbagai negara
- nabalunews
- Oct 27, 2024
- 2 min read

27 Oktober 2024
SANDAKAN: Sebanyak 18 pasukan melibatkan 54 peserta dari dalam dan luar negara menyertai pertandingan mengenal burung (bird race) pada Festival Burung Borneo (Borneo Bird Festival) 2024 anjuran Kelab Burung Borneo Sandakan (Sandakan Borneo Bird Club) dan Jabatan Perhutanan Sabah yang diadakan di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sandakan selama dua hari bermula kelmarin dan berakhir hari ini.
Antara peserta yang mengambil bahagian adalah dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Taiwan, Vietnam, Filipina.
Mereka turut menyertai pameran pada festival itu.
Manakala lebih 100 penggemar pemerhati burung professional dari pelbagai negara turut menyertai festival dua hari itu yang juga diisi dengan sesi perkongsian mengenai keindahan flora dan fauna serta alam sekitar di Sabah khasnya Sandakan selain pameran berkaitan serta jualan produk dan makanan tempatan.
Majlis pelancaran festival pada Sabtu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jimit yang mewakili Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, Pengerusi Penganjur yang juga Presiden Kelab Burung Borneo Sandakan, Dr.Robert Ong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, ADUN Gum-Gum, Arunarnsin Taib, Timbalan Konservator Hutan Sabah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr.Arthur Chung dan Pengasas British Birdwatching Fair yang kini dikenali sebagai Global Bird Fair, Tim Appleton.
Dalam ucapannya, Julinus berkata, Sabah amat bertuah kerana kaya dengan keindahan alam selain mempunyai pelbagai spesis burung yang menjadi tarikan kepada penggemar atau pemerhati burung dari luar negara.
"Ini sekaligus menyumbang kepada industri pelancongan negeri antaranya melalui Festival Burung Borneo di Sandakan," katanya.
Beliau berkata, Lembaga Pelancongan Sabah juga sentiasa mengalu-alukan festival seumpama ini yang mampu meningkatkan lagi eko-pelancongan setempat.
Pihaknya turut memuji usaha pihak penganjur yang berjaya menarik banyak penyertaan pada festival kali ini sekaligus bertukar kemahiran berkaitan.
Comments