Festival Kepenggunaan 2025 platform penting kumpul syor, pandangan DPN 2.0
- nabalunews
- Jul 13, 2025
- 3 min read

13 Julai 2025
PENAMPANG: Festival Kepenggunaan 2025 (CONFEST 2025) merupakan platform penting untuk mengumpulkan syor dan pandangan berkenaan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0).
Festival itu yang bermula 11 hingga 13 Julai 2025 bertempat di ITCC, Penampang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Dengan tema ”Semarak Konsumerisme”, CONFEST 2025 merupakan acara kemuncak sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025.
Antara pengisian utama CONFEST 2025 adalah pertandingan Battle of the Buskers, Sketsa Muzikal, Bicara Berirama dan Ekplorasi Troli Pintar.
Pertandingan yang disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti ini adalah wakil yang telah terpilih dalam saringan peringkat awal mengikut negeri dan zon masing-masing.
Selain itu, pelbagai reruai agensi kerajaan dan rakan strategik KPDN dibuka untuk para pengunjung mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasil daripada syor dan aspirasi anak muda melalui program ini akan dijadikan antara input dalam memuktamadkan penggubalan DPN 2.0.
Katanya, sejajar dengan aspirasi menyemarakkan kesedaran dan aktivisme konsumerisme, KPDN dalam fasa akhir memuktamadkan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0.
Katanya, DPN 2.0 akan menjadi rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif dan aktiviti yang berkaitan dengan kepenggunaan di negara ini.
"DPN 2.0 akan memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap pemegang taruh, sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan pengguna," katanya ketika merasmikan festival berkenaan, di ITCC, Penampang hari ini.
Armizan berkata, hubungan antara pelbagai pemegang taruh ini penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan undang-undang perlindungan pengguna serta penyampaian maklumat yang tepat dan menyeluruh ke arah pembentukan pengguna Malaysia yang berdaya upaya (empowered consumer).
Katanya, DPN 2.0 dirangka untuk memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks dalam ekosistem kepenggunaan.
"Antara cabaran utama termasuklah kelonggaran dalam aspek kawal selia dan penguatkuasaan, tahap celik pengguna yang rendah sehingga terdedah kepada eksploitasi, penggunaan produk yang tidak mematuhi standard keselamatan atau tidak mesra alam, penipuan dalam transaksi pembelian serta penyalahgunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI)," katanya.
Armizan berkata, DPN 2.0 turut memberi penekanan kepada isu kos sara hidup rakyat melalui pendekatan dasar yang inklusif dan responsif.
Katanya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Program Payung Rahmah MADANI, peluasan penggunaan Portal Ihsan MADANI sebagai rujukan maklumat harga dan barangan keperluan serta penggunaan indikator kos sara hidup sebagai panduan perbelanjaan pengguna.
Katanya, DPN 2.0 perlu digerakkan dengan melibatkan partisipasi pelbagai pemegang taruh termasuk masyarakat awam. "Bertepatan dengan matlamat ini, antara langkah yang diambil adalah dengan melancarkan logo Skuad Kita Pengguna (SKiP)".
"Skuad Kita Pengguna ini merupakan salah satu strategi KPDN dalam mendapatkan penglibatan orang ramai, sejajar dengan inisiatif KITA GEMPUR," katanya.
Armizan berkata, ahli SKiP merupakan rakan strategik KPDN dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di seluruh negara.
Karanya, SKiP berperanan dalam membantu KPDN antaranya membantu kementerian dalam usaha untuk mendidik masyarakat untuk menjadi pengguna yang berdaya upaya yang tahu hak, serta berani untuk mengambil tindakan selaras dengan perundangan atau peraturan sedia ada
Mewakili setiap lapisan masyarakat seperti sektor awam, swasta, persendirian, pertubuhan dan lain-lain untuk bersama-sama membantu Kerajaan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan mendidik masyarakat berkenaan kemahiran kepenggunaan.
Menjalankan program dan aktiviti bersama sektor swasta, pertubuhan dan masyarakat kampung/pedalaman agar advokasi atau mesej kepenggunaan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Armizan berkata, pemerkasaan peranan SKIP turut digerakkan melalui pertambahan ahli di seluruh negara. Menjelang penghujung tahun 2025, KPDN menyasarkan untuk mencapai jumlah pendaftaran ahli seramai 25,000 orang.
"SKiP akan digerakkan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dalam menangani isu-isu kepenggunaan secara lebih responsif dan inklusif sekali gus menjadi teras kepada keberkesanan pelaksanaan DPN 2.0," katanya.















Comments