top of page

Festival Tanglung Platform Kukuh Perpaduan, Hormati Kepelbagaian Budaya

nabalunews
3 days ago
2 min read

18 Oktober 2026


TUARAN: Tuaran Tanglung Festival 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum serta memupuk sikap saling menghormati kepelbagaian budaya di Sabah.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penganjuran festival itu memberi ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk berkumpul, berkenalan serta menghargai budaya masing-masing.


"Festival ini merupakan ruang terbaik untuk kita memperkukuh semangat perpaduan dan saling menghormati budaya kepelbagaian kaum yang ada di negeri ini.


"Kerajaan Negeri melihat kepelbagaian budaya, adat, dan perayaan di negeri ini sebagai satu aset kekayaan yang paling bernilai.


"Apabila kita saling menghormati dan berkongsi kegembiraan perayaan kaum lain, kita sebenarnya sedang membina jambatan perpaduan yang kukuh.


"Sabah sememangnya terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya.


"Kita mungkin berbeza budaya dan tradisi, tetapi kita berkongsi satu rumah yang sama iaitu Sabah.


"Usaha sebegini bukan sahaja menghidupkan suasana di daerah Tuaran, malah menjadi platform untuk bersama masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana yang penuh harmoni dan muhibah," katanya.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam Majlis Perasmian Tuaran Tanglung Festival 2026 di Padang Tuaran, pada Sabtu.


Beliau berkata, Tuaran mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan, kebudayaan, ekonomi kreatif dan pembangunan komuniti, sekali gus menjadikan festival itu untuk berkembang sebagai acara tahunan daerah berkenaan.


"Saya berharap acara seperti Tuaran Tanglung Festival dapat terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada kalendar acara tahunan Tuaran.


"Kita mahu melihat lebih ramai pengunjung datang ke Tuaran, lebih banyak peluang diberikan kepada usahawan tempatan, peniaga kecil, penggiat seni dan golongan belia.


"Kita mahu anak-anak muda kita terus mengenali, menghargai dan mempertahankan khazanah budaya yang kita miliki.

"Kemajuan tidak bermakna kita melupakan budaya dan akar kita. Sebaliknya, budaya boleh menjadi kekuatan kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan Sabah," jelasnya.


Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong program berunsur kebudayaan bagi memastikan generasi muda tidak melupakan akar budaya mereka, selain berharap Lions Club of Tuaran terus memainkan peranan aktif sebagai rakan komuniti.


Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Edward Linggu Bukut, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin serta Presiden Lions Club of Tuaran, Datuk Kapitan Frankie Goh./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page