top of page
Wartawan Nabalu News

Fikir dua kali sebelum kongsi video mangsa nahas pesawat - Fahmi


20 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menasihati pengguna media sosial dan Internet supaya berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum berkongsi sebarang bahan yang boleh menimbulkan keresahan atau kesedihan kepada pihak yang terlibat.


Fahmi berkata demikian berhubung penyebaran video yang menunjukkan mayat mangsa insiden pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.


Beliau menyatakan rasa pilu dan sedih terhadap sikap sesetengah pengguna media sosial yang tidak berperasaan dan tidak berempati kepada keluarga mangsa.


“Kita kena ada batas, bukan hanya dalam isu 3R (kaum, agama dan Institusi Diraja) atau fitnah, tapi sebenarnya isu adab, akhlak dan moral, maka saya berharap kita belajar daripada kejadian tragik ini.


"Kalau ada perkara yang membuka aib orang atau menimbulkan keresahan keluarga mangsa, kita pertimbangkan dahulu," katanya selepas merasmikan Kejohanan Catur Terbuka Intergenerasi di Lembah Pantai.


Beliau juga menegaskan bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada laporan polis dibuat mengenai perkara ini.


"Saya belum terima laporan daripada MCMC mengenai perkara ini, tetapi sekiranya ada laporan polis yang dibuat, saya percaya peruntukan undang-undang ada untuk kita ambil tindakan," katanya.

Comments


bottom of page