top of page

Fook Yuen Cafe & Bakery Terus Komited Kekalkan Kualiti Makanan Dan Perkhidmatan

  • nabalunews
  • Aug 17, 2025
  • 2 min read

17 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Walaupun muncul pelbagai pesaing baharu dalam industri makanan dan minuman, Fook Yuen Cafe & Bakery Sdn Bhd tetap optimis dengan kekuatan jenama serta sokongan pelanggan setia yang tidak pernah putus.


Pengarah syarikat, Lo Tze Jet berkata, faktor utama yang mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka adalah kualiti produk makanan dan minuman yang ditawarkan.


Katanya, dia sentiasa memastikan kecekapan perkhidmatan yang sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Pelbagai produk dan jenama yang ada, malah muncul banyak lagi jenis kopi yang bersaing di pasaran tempatan.


“Namun, kami masih sibuk setiap hari. Itu yang membuatkan saya bersemangat kerana orang ramai masih datang menyokong kami,” katanya.


Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pensijilan Francais yang dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, di sini, hari ini.


Lo berkata, dia amat berterima kasih kepada Ewon atas usahanya yang sentiasa membantu usahawan mengembangkan perniagaan menerusi pelbagai agensi di bawah kementeriannya.


Katanya, hari ini, Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) datang membawa pelbagai tawaran menarik yang boleh membawa manfaat kepada syarikat miliknya yang kini mempunyai tujuh cawangan di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.


Sehubungan itu, Lo berkata, usaha penambahbaikan dilakukan secara konsisten setiap hari, termasuk memastikan rasa minuman dan makanan sentiasa berada pada tahap terbaik.


“Setiap hari sendiri akan cuba minum atau makan produk kami. Kalau ada sedikit perbezaan rasa, saya akan terus maklumkan mengambil tindakan menyesuaikan formula.


“Kadang-kadang faktor cuaca juga mempengaruhi rasa. Sebab itu kami perlu sentiasa mencuba dan memastikan kualiti terjamin,” jelasnya.


Menurut Lo, falsafah itu menjadi asas kepada kekuatan Fook Yuen sehingga kekal menjadi pilihan pelanggan meskipun berdepan dengan persaingan.


Ditanya mengenai harapannya terhadap pelanggan, Lo mengucapkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan sejak sekian lama.


“Saya berharap pelanggan akan terus menyokong kami. Saya jamin bahawa kami akan sentiasa berusaha menyediakan makanan dan minuman yang terbaik. Itulah visi kami,” tegasnya.


Fook Yuen Cafe & Bakery yang terkenal dengan roti kaya bakar, teh tarik dan pelbagai sajian tempatan, kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama pelanggan di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page