top of page

Format baharu bil mudahkan pengguna, elak pemotongan tanpa notis – Madius

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

17 Jun 2025


KOTA KINABALU: Pengenalan format baharu bil elektrik oleh Sabah Electricity sejak 1 April lalu bertujuan memudahkan urusan pengguna serta mengurangkan risiko pemotongan bekalan tanpa notis.


Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, antara perubahan ketara ialah pemberitahuan tunggakan tidak lagi dihantar secara berasingan dalam bentuk notis berwarna merah jambu seperti sebelum ini.


“Sebaliknya, maklumat tunggakan kini dimasukkan terus ke dalam bil bulanan di bahagian bawah yang turut berwarna merah jambu.

“Sekiranya terdapat tunggakan, amaun akan dinyatakan dengan jelas dan jika kosong, itu bermakna akaun pengguna berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Madius, pihaknya menyedari terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan pengguna berikutan perubahan pada rupa serta kandungan bil elektrik berkenaan.


“Ramai sudah biasa dengan format lama yang mudah difahami dan terus dibayar. Maka, sebarang perubahan, walaupun kecil sudah tentu menimbulkan persoalan,” katanya.


Madius berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan semua maklumat penting disatukan dalam satu bil, sekaligus memudahkan pengguna serta mengelakkan kejadian bekalan elektrik dipotong tanpa amaran jelas.


Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi mudah alih mySESB yang membolehkan pengguna menyemak bil terkini, melihat sejarah penggunaan serta membuat bayaran secara dalam talian.


Bagaimanapun katanya, setakat ini hanya 180,000 daripada 700,000 pengguna berdaftar yang telah memuat turun aplikasi tersebut.


Dalam pada itu katanya, Sabah Electricity juga kini dalam proses menaik taraf aplikasi tersebut yang dijangka siap menjelang Oktober tahun ini.


“Versi baharu nanti akan membolehkan pengguna melakukan lebih banyak urusan termasuk permohonan meter baharu serta membuat aduan terus melalui telefon pintar.


“Matlamat kami jelas iaitu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik, pantas dan mesra pengguna. Semua maklumat penting kini ada dalam satu bil dan satu aplikasi,” katanya.


Madius turut menegaskan komitmen berterusan Sabah Electricity untuk menambah baik perkhidmatannya secara menyeluruh kepada pengguna di Sabah dan Labuan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page