top of page

Gagal tangani kandungan hina Institusi Diraja, MCMC tuntut statutori terhadap TikTok

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

21 Mei 2026


CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalannya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat kandungan menghina Institusi Diraja Malaysia.


MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu diambil selepas platform berkenaan didakwa gagal menurunkan kandungan bersifat jelek melampau, palsu, mengancam serta melibatkan akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.


Menurut MCMC, kandungan terbabit turut melibatkan video yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi yang dipercayai berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).


“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan jelek melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.


“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap Institusi Perlembagaan,” katanya.


Menurut MCMC, walaupun makluman dan libat urus terdahulu sudah dilaksanakan, respons TikTok dalam menangani kandungan berkenaan didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dibuat segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan itu.


Jelasnya, sebagai platform yang menyediakan perkhidmatan media sosial di Malaysia, pemberi perkhidmatan mempunyai tahap tanggungjawab lebih tinggi bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak dieksploitasi untuk aktiviti memudaratkan dan menyalahi undang-undang.


“Pengeluaran Tuntutan Statutori ini menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.


“TikTok juga dikehendaki memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform, selain diminta memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan berkenaan,” katanya.


Dalam pada itu, suruhanjaya itu menegaskan akan terus mengambil tindakan kawal selia dan perundangan yang perlu terhadap mana-mana penyalahgunaan platform digital yang boleh menggugat ketenteraman awam.


Katanya, pemberi perkhidmatan media sosial harus bertindak secara bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti 3R.


“MCMC akan terus mengambil tindakan tegas dan setimpal bagi memastikan platform digital yang beroperasi di Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekalkan persekitaran dalam talian yang berhemah, selamat dan terjamin,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page