top of page
  • Wartawan Nabalu News

Gaji graduan masuk agenda mesyuarat kaji skim perkhidmatan dan saraan – PM


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau akan bermesyuarat minggu depan untuk mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam, termasuk gaji graduan.


Beliau berkata jawatankuasa itu telah ditetapkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan akan melibatkan semua kementerian yang berkaitan.


"Kita akan ambil kira semua perkara, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-Allah dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di Bukit Mertajam hari ini.


Beliau juga ditanya mengenai gaji graduan yang kini dianggap merosot ke paras gaji minimum.


"Jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat," katanya.


Sementara itu, beliau juga menyeru semua kementerian untuk tidak bekerja secara silo dan memanfaatkan kepakaran yang ada di institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara.


Beliau memberi contoh China yang telah membangunkan sinergi antara kerajaan dan universiti untuk memacu ekonomi negara itu.


"Saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana, supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan," katanya.


Beliau berkata dengan cara ini, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan ekonomi enam peratus dalam masa singkat dan meningkatkan pelaburan negara.



Comments


bottom of page