top of page

Gangguan air Kinarut, Kawang: Kerja sambungan silang dijangka siap 24 Januari

  • nabalunews
  • Jan 16
  • 2 min read

16 Januari 2026


PAPAR: Gangguan bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang yang berlarutan sejak Disember lalu dijangka berakhir apabila kerja penyambungan silang rangkaian paip dari tangki utama P1 Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon ke tangki utama P3 di Kawang siap 24 Januari ini.


Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lepas susulan aduan berterusan penduduk mengenai gangguan bekalan kritikal di kawasan berkenaan.


Menurutnya, langkah mitigasi segera itu membolehkan kapasiti rawatan air di LRA Kogopon sedia ada ditingkatkan sebanyak 10 peratus atau sekitar 3.5 hingga 4 juta liter sehari (JLH) sehingga projek naik taraf LRA Kogopon 2 siap sepenuhnya.

"Kapasiti tambahan ini kelak akan disalurkan terus dari P1 kepada P3 sebagai bekalan tambahan untuk menampung keperluan kritikal di Mukim Kinarut dan Kawang.


"Penyambungan silang ini akan dapat mengurangkan jarak pembekalan dari P1 ke P3 daripada 33 kilometer kepada 10.3 kilometer," katanya selepas meninjau perkembangan kerja-kerja di lapangan di sini, hari ini.


Menurut Armizan, langkah mitigasi yang dijalankan 24 jam sehari sejak 9 Januari lalu turut melibatkan penggantian injap di LRA Kogopon serta penggantian pam air di loji sedia ada.


Bagaimanapun, katanya proses penggantian injap memerlukan penutupan sementara loji selama kira-kira 10 jam bermula lewat malam 20 Januari ini, yang dijangka menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan dalam daerah Papar.


"Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan mengeluarkan makluman rasmi kepada penduduk terlibat dalam masa terdekat.


“Kita mengharapkan langkah mitigasi serta-merta ini dapat mengurangkan gangguan serius dan menyelesaikan isu catuan yang telah lama dihadapi penduduk sehingga projek Kogopon 2 siap sepenuhnya,” katanya.


Projek naik taraf LRA Kogopon 2 dengan kapasiti tambahan sebanyak 40 JLH yang bermula sejak Ogos 2023 dijangka siap pada suku keempat tahun ini sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu bekalan air di kawasan berkenaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page