Gangguan bekalan air di Sepanggar tidak berkesudahan, penduduk terpaksa tinggal di hotelGangguan bekalan air di Sepanggar tidak berkesudahan, penduduk terpaksa tinggal di hotel
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Gangguan bekalan air di Sepanggar tidak berkesudahan, penduduk terpaksa tinggal di hotel


Gambar Hiasan

18 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


SEPANGGAR: Sudah berkali-kali membuat aduan masalah bekalan air yang kerap berlaku, namun jawapan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tetap sama iaitu punca masalah masih belum dijumpai.


Itulah yang didedahkan seorang penduduk di University Apartment 2 (UA2) di sini yang sudah jemu dengan respon JANS yanf seolah-olah lepas tangan.


Disebabkan hal ini sering berlaku, beliau terpaksa membelanjakan banyak wang untuk tinggal di hotel demi mendapatkan kemudahan asas itu.


“Saya ada anak kecil, terpaksa tidur hotel sebab keperluan (air) sangat tinggi. Sudah banyak kali tidur hotel,” kata Shafiq Shahari yang sudah menetap di pangsapuri itu sejak tahun 2015.

Lori hanya mula menghantar bekalan air dua hari selepas ketiadaan air.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan air sudah berlanjutan sejak bulan Februari tahun ini dan beliau sudah berkali-kali menghubungi pihak JANS untuk membuat aduan.


“Semalam, pada pukul 9.20 pagi, saya telah menelefon careline JANS untuk membuat aduan namun saya dimaklumkan bahawa pihak juruteknik JANS belum jumpa punca masalah.


“Pihak JANS sehingga hari ini tidak mengeluarkan notis mahupun sebarang justifikasi masalah ini. Hanya berdiam diri,” katanya ketika dihubungi wartawan Nabalu News, hari ini.


Beliau berkata, pihak pengurusan perumahan itu juga sudah membuat aduan dan alasan yang diterima dari JANS adalah kemasukan pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyebabkan bekalan air terhad.


Setelah berkali-kali membuat aduan, JANS akhirnya akur untuk menghantar lori tangki air bagi tujuan pencatuan.


Menurut Shafiq, walaupun tekanan air yang rendah sudah bermula sejak Jumaat dan air terputus sepenuhnya pada Sabtu, lori tangki air hanya tiba pada waktu malam keesokan harinya.


“Semalam satu lori tangki air dari JANS tiba untuk mengisi di tangka pangsapuri ini, namun tidak cukup untuk pihak pengurusan untuk membuka saluran air bagi menampung lebih kurang 560 unit rumah di sini.


“Kami dimaklumkan bahawa lori tangki air akan dihantar sebanyak empat kali pada hari ini. Bekalan yang pertama baru tiba sekitar 2 petang tadi,” jelasnya.


Bercakap mewakili semua penduduk di situ, beliau mohon campur tangan dari kerajaan atau pihak yang berkaitan untuk segera selesaikan masalah bekalan air ini.


“Walaupun saya tidak mengalami sebarang kecederaan semasa proses mengangkut air ke rumah saya di tingkat dua, tetapi ia membuatkan saya berasa amat penat."

bottom of page