- nabalunews
Gangguan IT global, KLIA2 dan KTMB terjejas, daftar masuk secara manual dan masa menunggu panjang di Terminal 2 KLIA
19 Julai 2024
KUALA LUMPUR : Gangguan sistem komputer global di seluruh dunia hari ni turut menjejaskan beberapa perkhidmatan utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 setakat petang tadi.
Hasil tinjauan di media sosial, seluruh kaunter kelihatan sesak kerana pendaftaran penerbangan harus dibuat secara manual kerana sistem mengalami gangguan teknikal.
Difahamkan, para penumpang yang masih belum ada pas masuk, wajib beratur di kaunter untuk melakukan pendaftaran manual.
Bagaimanapun, setakat ini, Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) dalam kenyataannya melaporkan semua perkhidmatan lapangan terbang kelolaannya tidak terjejas dengan gangguan siber CrowdStrike.
"Bagaimanapun, beberapa rakan kongsi syarikat penerbangan kami mengalami gangguan akibat isu ini," katanya.
MAHB sebelum ini berkata perkhidmatannya tidak menerima kesan akibat gangguan IT global yang mengakibatkan gangguan perjalanan yang meluas di Eropah, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa lapangan terbang di Australia.
Sementara itu, semua saluran aduan Pusat Khidmat Pelanggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan aplikasi tiket KTMB Mobile (KITS) turut mengalami gangguan teknikal akibat ‘Crowdstrike’ Microsoft Windows.
Sistem daftar masuk dan tempahan utama AirAsia turut terjejas oleh isu teknologi maklumat (IT) global, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu siaran media sosial.
“Anda mungkin mengalami daftar masuk yang lebih perlahan serta giliran yang agak panjang dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini. Kami menghargai kesabaran serta pemahaman anda pada masa ini,” kata AirAsia di platform X.
Kenyataan yang dikeluarkan pada 4.52 petang tadi menyusuli laporan berita global mengenai gangguan perkhidmatan awan Microsoft yang telah menjejaskan banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia.
AirAsia kemudiannya menambah walaupun syarikat penerbangan itu mengalami gangguan sistem dalaman, ia tidak membatalkan mana-mana penerbangan.
Difahamkan penerbangan Malaysia Airlines juga tidak terjejas.
Walaupun tiada pembatalan setakat ini, penerbangan ke destinasi yang terjejas akibat gangguan global masih boleh memberi impak ke atas penerbangan Malaysia Airlines.
Bagaimanapun, masalah tersebut telah menganggu sistem daftar masuk dalam talian dan tempahan Firefly.
Di Singapura, proses daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi sedang diuruskan secara manual disebabkan gangguan sistem IT global itu.
Gangguan siber itu turut menyebabkan
syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat (AS) menghentikan operasi penerbangan atas alasan isu komunikasi.
Manakala syarikat penerbangan lain, syarikat media, bank dan firma telekomunikasi di seluruh dunia turut melaporkan gangguan sistem terhadap operasi mereka.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menghentikan penerbangan dari beberapa syarikat penerbangan utama AS termasuk Delta, United dan American Airlines.
Semua lapangan terbang Sepanyol turut terjejas, malah Lapangan Terbang Berlin terpaksa menggantung penerbangannya.
Ryanair, syarikat penerbangan terbesar Eropah pula memberi amaran kepada penumpangnya mengenai potensi gangguan yang dikatakan akan menjejaskan semua syarikat penerbangan yang beroperasi merentasi rangkaian, walaupun ia tidak menyatakan jenis gangguan itu.
Laporan media menyebut isu gangguan siber ini dikaitkan dengan firma keselamatan siber global, Crowdstrike.
CrowdStrike Holdings Inc merupakan syarikat teknologi keselamatan siber AS yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan beban kerja penembusan dan keselamatan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan serangan siber.
Menurut laporan berita, isu tersebut berkemungkinan berpunca daripada kesilapan pengaturcaraan yang berpotensi merencatkan keseluruhan sistem komputer, dan jika seseorang membuat jenis kesilapan yang salah, ia boleh menjatuhkan keseluruhan sistem.
Di Australia, media, bank dan syarikat telekomunikasi mengalami gangguan, yang menurut kerajaan dilihat berkaitan dengan isu di firma keselamatan siber global Crowdstrike.
Tidak jelas sama ada semua gangguan yang dilaporkan ada kaitan dengan masalah Crowdstrike atau terdapat isu lain yang sedang berlaku.
Comments