Gangguan seksual pelajar praktikal: Penyelia kewangan syarikat perladangan ditahan polis
10 November 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis menahan seorang penyelia kewangan di sebuah syarikat perladangan di daerah ini selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar wanita, 23, yang sedang menjalani latihan industri di syarikat berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan jam 12.10 tengah hari di sekitar kawasan bandar oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau.
Menurutnya, kejadian gangguan seksual tersebut didakwa berlaku di sekitar pejabat syarikat tempat mangsa menjalankan praktikal dan berulang kali menjadi sasaran suspek.
Katanya, suspek juga dikatakan sering bertanyakan beberapa soalan kepada mangsa dengan menggunakan perkataan lucah sehingga menyebabkan mangsa berasa tidak selesa.
Malahan, katanya, suspek turut didakwa merendah-rendahkan mangsa memandangkan mangsa dijaga oleh datuk dan neneknya.
"Suspek juga dikatakan membandingkan mangsa dengan pelajar praktikal di syarikat tersebut sebelum ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Beliau mengatakan polis memandang serius kes gangguan seksual di tempat kerja dan akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan adil.
Comments