nabalunews
Gangguan Seksual: Permudahkan laporan dengan sistem aduan digital
2 September 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan memperkenalkan mekanisme aduan gangguan seksual secara dalam talian bagi memudahkan mangsa membuat laporan tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat.
Langkah ini penting untuk membuka akses lebih luas kepada individu, terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.
Presiden Persatuan Peguam Wanita (AWL), Daniella Zulkifli, menekankan bahawa kekurangan laporan mengenai gangguan seksual adalah disebabkan keperluan untuk membuat aduan secara fizikal di pejabat.
Menurutnya, pengenalan kaedah e-filing akan mempermudahkan proses tersebut dan meningkatkan jumlah aduan yang diterima.
“Walhal, kami telah mencadangkan bahawa laporan boleh dibuat secara e-filing. Apabila ini boleh dilakukan, lebih mudah untuk pengadu membuat laporan,” kata Daniella dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Pada Ahad, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), dipinda untuk ditambah baik dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.
Sebelum ini, akta berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Okt tahun lepas dan diwartakan 18 Okt tahun yang sama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, di bawah akta itu, tindakan hanya boleh diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan sahaja.
Comments