top of page
  • Farah Salim

Gara-gara tidak menjelaskan hutang, Rina Harun disaman RM130,000


27 Okt 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Rina Harun disaman RM130,000 oleh bekas kawan baiknya setelah didakwa gagal menjelaskan hutang yang dipinjam lebih 12 tahun lalu.


Plaintif Ida Rahayu Noor menuntut wang tunai RM130,000, faedah lima peratus ke atas jumlah bagi setiap tahun hutang itu tidak dijelaskan, kos guaman, serta relief berkaitan.


Menurut laporan The Vibes, Ida Rahayu dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 30 Ogos mendakwa bahawa Rina telah memohon pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 pada Mei 2009.


Difahamkan, hutang itu sebagai sebahagian daripada bayaran pendahuluannya untuk membeli francais perniagaan JM Bariani House Alamanda daripada Secret Heritage Sdn Bhd.


Kedua-dua mereka menandatangani perjanjian pada 26 Mei 2009 yang merangkumi beberapa terma dan syarat mengenai kaedah pembayaran balik, termasuk pembayaran Rm1,000 setiap bulan selama 130 bulan mulai Mac 2010 di mana pembayaran terakhir sepatutnya diselesaikan pada 1 Oktober tahun ini.


Namun pada tahun 2011, Rina meminta Ida Rahayu menangguhkan pembayaran balik ke tarikh yang akan datang atas alasan perniagaannya terjejas. Perkara itu dipersetujui kedua-dua pihak sebaik sahaja tuntutan bertulis dibuat.


Dalam perjanjian pinjaman asal, dinyatakan bahawa Ida Rahayu berhak menuntut bayaran balik jika penghutang telah melanggar mana-mana syarat atau jika tiada pembayaran balik dilakukan.


Pada 6 Julai, Ida Rahayu menyampaikan notis tuntutan kepada Rina untuk memintanya menyelesaikan hutangnya tetapi Rina menafikan tuntutan pembayaran balik pinjaman itu seminggu kemudian.

תגובות


bottom of page