Penunggang P-Hailing Maut Terlanggar Kereta
- nabalunews
- May 23
- 1 min read

23 Mei 2025
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut akibat terlanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran KFC Darau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Ahmad Ashraff, 18, yang juga seorang penunggang P-Hailing dikatakan sedang dalam perjalanan untuk melakukan penghantaran makanan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha LC 135 dengan kereta Perodua Myvi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi lelaki yang datang dari arah pasar raya CKS, Manggatal, keluar dari simpang untuk menuju ke laluan pusingan U.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dilanggar oleh motosikal mangsa yang datang dari arah laluan utama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke pembahagi jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan

Katanya, tindakan susulan sudah diambil termasuk semakan rakaman CCTV dan dashcam, serta penahanan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Kriminalistik dan PUSPAKOM.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas arahan Pegawai Penyiasat Kanan Trafik IPD Kota Kinabalu.
“Polis menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Comments