top of page

Ringgit mengukuh berbanding Dolar AS

  • nabalunews
  • May 23
  • 2 min read

23 Mei 2025


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pada Jumaat dengan pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh kelemahan Indeks Dolar AS (DXY) yang terkesan daripada data ekonomi bercampur-campur, kata penganalisis.


Pada jam 8 pagi, ringgit mencatatkan nilai 4.2575/2860 berbanding dolar AS, meningkat daripada paras 4.2705/2765 yang dicatatkan pada sesi sebelumnya.


Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, DXY kekal di bawah paras 100 mata, yang dipengaruhi oleh data ekonomi yang tidak konsisten.


"Tuntutan pengangguran awal di AS adalah lebih rendah daripada jangkaan minggu lalu, iaitu 227,000 berbanding anggaran konsensus sebanyak 230,000. Ini menunjukkan pasaran pekerjaan masih berdaya tahan walaupun bilangan penganggur yang terus menerima faedah pengangguran meningkat kepada 1.90 juta berbanding 1.87 juta sebelum ini," katanya kepada Bernama.


Mohd Afzanizam juga menyatakan bahawa Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS bagi sektor pembuatan menunjukkan peningkatan ketara kepada 52.3 mata pada bulan Mei, berbanding 50.2 mata pada bulan April, dengan kenaikan signifikan dalam pesanan baru yang menjadi pendorong utama.


Namun, beliau turut menyatakan bahawa komponen subindeks seperti penggajian tidak menunjukkan prestasi yang baik, dan kebimbangan mengenai tarif yang lebih tinggi serta harga purata yang lebih tinggi dikenakan ke atas pelanggan turut memberi kesan kepada sektor ini.


Pada masa yang sama, Dewan Perwakilan AS telah meluluskan rang undang-undang dikenali sebagai "One Big Beautiful Bill Act", yang antara lainnya melanjutkan pengurangan cukai 2017 dan menambah pengurangan baharu ke atas tip serta menaikkan had Cukai Negeri dan Tempatan (SALT).


"Defisit belanjawan berkemungkinan melonjak daripada 6.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) semasa, memberi kesan kepada beban hutang kerajaan yang kini mencecah 100 peratus daripada KDNK. Dolar AS juga berkemungkinan kekal lemah, yang seterusnya akan menguntungkan mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit," jelasnya.


Dalam sesi awal urus niaga, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama dan serantau. Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9591/9791 daripada 2.9768/9812, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7131/7514 daripada 5.7212/7292, dan naik berbanding euro kepada 4.8029/8350 daripada 4.8218/8286.


Berbanding mata wang serantau, ringgit turut mencatatkan pengukuhan berbanding dolar Singapura kepada 3.2943/3166 daripada 3.3061/3110, naik berbanding baht Thailand kepada 12.9498/13.0484 daripada 13.0000/0254, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 260.7/262.6 daripada 261.5/262.0, dan berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.71 daripada 7.68/7.69.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page