top of page
nabalunews

Garap semangat Deepavali untuk capai kesejahteraan - PM Anwar


1 November 2024


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan harapan agar semangat Deepavali atau Pesta Cahaya dapat dijadikan inspirasi untuk membawa Malaysia menuju kesejahteraan yang lebih baik.


Beliau turut mengajak rakyat Malaysia meneruskan perjuangan ke arah kebaikan, keadilan, dan masa depan yang lebih cerah.


Ketika berucap di hadapan ribuan rakyat yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini, Perdana Menteri menegaskan bahawa sambutan Deepavali mempunyai nilai sejarah dan signifikan yang mendalam.


Menurut beliau, perayaan ini bukan sekadar acara makan dan minum, tetapi ia mengangkat tema cahaya mengatasi kegelapan yang menjadi simbol kekuatan untuk mengatasi segala cabaran yang dihadapi masyarakat.


Tambahnya, semangat perpaduan dan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum dapat diperkukuh melalui sambutan perayaan seperti ini, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.


“Kita tahu semangat Deepavali adalah menyalakan cahaya untuk menggantikan kegelapan. Sambutan ini membawa sejarah yang patut diketahui oleh rakyat, bahawa hidup ini lebih bermakna daripada sekadar makan dan minum.


“Mudah-mudahan semangat Deepavali ini memberi ruang kepada masyarakat Hindu dan rakan-rakan lain untuk bersama-sama membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih bergemerlapan,” katanya dalam ucapan ringkas.


Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, serta menteri-menteri dan timbalan menteri.

Comments


bottom of page