top of page
Wartawan Nabalu News

Garis panduan edisi kedua tangani kekerasan terhadap warga KKM


11 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan garis panduan edisi kedua untuk mencegah dan menangani kekerasan terhadap warga kerja di fasiliti kesihatan.


Garis panduan edisi kedua ini adalah penambahbaikan daripada garis panduan lama yang diterbitkan pada 2017 dengan mengambil kira definisi, skop, pengendalian dan notifikasi kes kekerasan yang lebih komprehensif.


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kekerasan di tempat kerja adalah antara cabaran utama yang dihadapi oleh warga KKM dan boleh mengganggu produktiviti dan kualiti penjagaan perubatan.


"Kekerasan dalam apa jua bentuk sama ada serangan fizikal, verbal, seksual mahupun bertulis boleh memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan psikologi serta fizikal warga KKM, seterusnya menjejaskan prestasi kerja," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran garis panduan itu.


Beliau berkata statistik pelaporan kes kekerasan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dengan sebanyak 167 kes pada 2017, 442 kes pada 2018, 494 kes pada 2019, 321 kes pada 2020 dan 260 kes pada 2021 semasa fasa pandemik COVID-19.


Tambah beliau, garis panduan terbaharu ini bertujuan untuk memastikan kekerasan terhadap warga KKM dapat ditangani dengan lebih berkesan serta memelihara keselamatan dan kesejahteraan tempat kerja di KKM.


"Melalui garis panduan ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan komitmen semua pihak untuk mencegah dan menangani kekerasan terhadap warga KKM dengan cara yang profesional, beretika dan berhemah," katanya.


Comentarios


bottom of page