Garis panduan larang minuman alkohol di sekolah kekal terpakai – Fahmi
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

24 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri memutuskan garis panduan dan amalan dan sedia ada berhubung penganjuran acara termasuk penyajian minuman alkohol di fasiliti sekolah kekal terpakai.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tiada perubahan ke atas garis paduan sedia ada namun Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi penjelasan menerusi satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dikecualikan daripada garis panduan berkenaan.
“Jemaah Menteri maklumkan bahawa bagi sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina, ada yang mendapat bantuan penuh, ada yang beberapa fasiliti dibangunkan dan dijaga oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau pun telah dibangunkan oleh pihak swasta.
“Jadi ada beberapa perkara yang terpakai khusus untuk sekolah-sekolah Cina. Perkara ini memang dalam pengetahuan dan dalam pertimbangan Jemaah Menteri, itulah sebab peraturan sedia ada, terpakai,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, membidas acara membabitkan sajian arak dalam kawasan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Anwar berkata, walaupun acara berkenaan selepas waktu sekolah, fasiliti sekolah tidak harus digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan.
Hari ini, Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai 'menjolok sarang tebuan' kerana ia menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina.
Guan Eng mendakwa larangan minuman beralkohol dihidangkan di dewan sekolah Cina yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan masyarakat Cina dilihat sebagai mengganggu amalan sedia ada.


















Comments