Garis Panduan Yang Dicadangkan Tidak Relevan Di Sabah
- nabalunews
- Feb 17
- 1 min read

17 Februari 2025
TUARAN: Sabah mempunyai pelbagai etnik dan agama namun rakyat Sabah tetap saling hormat menghormati dan hidup aman damai.
Demikian kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan garis panduan yang dicadangkan untuk orang Islam bagi menghadiri acara anjuran masyarakat bukan Islam tidak relevan untuk dipraktikkan di Sabah.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai keunikan dan ramai dalam kalangan rakyat yang mempunyai saudara mara dari berlainan agama.
“Saya ingin menyatakan bahawa garis panduan yang dicadangkan itu tidak relevan untuk kita. Di sini, kita saling menghormati.
“Ambil saya sebagai contoh, adalah mustahil untuk saya tidak menghadiri sambutan masyarakat pelbagai agama dan kaum di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Festival Angpow anjuran 10 persatuan dan NGO Cina di Dewan Sri Sulaman, di sini, semalam.
Hajiji berkata, ketika mentuanya meninggal dunia, beliau hadir memberikan penghormatan terakhir di gereja St Philip, Tamparuli.
“Itu tidak menjejaskan kepercayaan saya dan tidak menjadikan saya kurang Muslim. Ini semua berkaitan dengan akidah kita,” katanya.
Dalam hal itu, Hajiji menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan keadaan di tempat lain.
Comments