top of page

GCC dan ASEAN seru gencatan senjata di Gaza, sokong penyelesaian konflik Palestin-Israel

Wartawan Nabalu News


21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RIYADH: Gencatan senjata yang berkekalan di Gaza dan akses bantuan kemanusiaan yang cekap dan berkesan, termasuk penghantaran bahan api, makanan, dan ubat-ubatan ke seluruh Gaza, menjadi tuntutan para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN.


Para pemimpin telah bertukar pandangan dan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan di Asia Barat, dan mengutuk semua serangan ke atas orang awam dalam konflik Palestin-Israel.


"Mereka menggesa semua pihak dalam konflik supaya melindungi orang awam, mengelak daripada mensasarkan mereka, dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama prinsip dan peruntukan Konvensyen Geneva Berkaitan Perlindungan Orang Awam pada Masa Perang 12 Ogos 1949," kata kenyataan bersama GCC dan ASEAN semasa Sidang Kemuncak GCC-ASEAN pada 20 Okt.


Sidang kemuncak itu merupakan pertama kali diadakan antara dua blok terkemuka yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN dan enam anggota GCC - Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.


Para pemimpin juga menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat tebusan dan tahanan awam, terutama wanita, kanak-kanak, orang sakit dan warga tua, dan mengejar penyelesaian damai bagi konflik itu dengan tujuan mewujudkan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 mengikut undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang berkaitan.


Selain itu, para pemimpin menyokong inisiatif Arab Saudi, Kesatuan Eropah dan Liga Negara Arab untuk menghidupkan semula proses damai Asia Barat dengan kerjasama Mesir dan Jordan, dan menyelesaikan pertikaian Israel-Palestin mengikut undang-undang antarabangsa serta semua resolusi PBB mengenai konflik ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page