top of page

Gelanggang Tenis Daerah Sandakan siap dinaiktaraf

  • nabalunews
  • Aug 24, 2025
  • 2 min read

24 Ogos 2025


SANDAKAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan menyerahkan Gelanggang Tenis Daerah Sandakan yang siap dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan rasminya, pada Sabtu.



Majlis penyerahan projek menaiktaraf gelanggang itu disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut dihadiri Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee serta ahli jawatankuasanya Persatuan Tenis Daerah Sandakan.


Hannah berkata, projek yang melibatkan kos sebanyak RM350,000 itu dimulakan pada 28 Ogos 2024 dan siap sepenuhnya pada 27 November 2024.


Katanya, ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf lantai gelanggang tenis, membina parit baru dan portable awning untuk keselesaan pengguna. 


“Projek ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani untuk menaik taraf kemudahan sukan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat terutama di daerah Sandakan serta kawasan-kawasan di sekitarnya.


"Ini juga membolehkan Sandakan untuk menganjurkan kejohanan tenis peringkat lebih tinggi dengan naik taraf 5 gelanggang di sini," katanya ketika ditemui, semalam.


Hannah berkata, pihaknya turut berharap gelanggang ini dapat dimanfaatkan bagi melahirkan bakat-bakat baharu sukan tenis khususnya di daerah Sandakan.


Katanya, KBS juga sentiasa berusaha untuk memastikan penyediaan fasiliti dan kemudahan sukan yang sesuai, selesa dan berkualiti kepada masyarakat.


“Projek ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa fokus KBS bukan sahaja dalam pembinaan dan naik taraf kompleks sukan berskala besar.


“KBS turut menaiktaraf kemudahan sukan berskala kecil seperti gelanggang-gelanggang futsal, gelanggang serba guna, padang bola sepak dan kemudahan lain yang menjadi tumpuan atau kegunaan penduduk dan belia setempat,” katanya.


Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran sukan melibatkan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, Hannah berkata, KBS dengan kerjasama beberapa syarikat penerbangan ada membuat tawaran potongan 30 peratus tambang.


Malah katanya, lebih banyak usaha akan dilaksanakan bersama pihak swasta untuk memastikan atlet ini dapat dibantu khasnya kos penerbangan mereka.


“Mengenai had umur belia 30 tahun dan mereka yang sudah melebihi umur itu tetapi masih menjawat jawatan pada tahun hadapan mengikut mesyuarat agung semasa.


“Mereka masih boleh menjawat jawatan sehingga tamat tempoh bagi yang berdaftar dengan Pertubuhan Belia (ROY).


“Begitu juga dengan belia yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), KBS turut melaksanakan transisi berkenaan bagi had umur di mana mereka boleh mewujudkan alumni bagi persatuan dan masih boleh memberi khidmat belia di bawah syarat transisi itu,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page