top of page
  • Wartawan Nabalu News

GEM UPKO BIDAS KENYATAAN RAIS YATIM #UNDI18 TIDAK DAPAT DITERUSKAN


Maxolvin Sintore

11 Mac 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Pergerakan Generasi Muda (GEM) UPKO Malaysia membidas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim bahawa kelayakan mengundi pada usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan.


Ketua Exco Generasi Muda UPKO Malaysia, Maxolvin Sintore berkata, alasan bahawa proses pelaksanaan itu mengambil masa yang lama adalah sangat tidak praktikal, kerana proses pendaftaran pengundi baharu boleh dipercepatkan sekiranya semua pihak telus dalam hal ini.



"Apakah alasan belia berusia 18 tahun tidak dapat didaftarkan sebagai pengundi?


"Golongan ini juga mempunyai hak yang sama dengan golongan 21 tahun ke atas dalam menentukan dasar-dasar negara," katanya, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rais Yatim bahawa kelayakan mengundi pada usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.


Maxolvin berkata, dari sudut politik, pandangan belia atau golongan muda terhadap politik adalah berbeza dengan golongan veteran dalam politik.


"Misalnya, golongan belia tidak berminat melibatkan diri dalam politik secara langsung, atau menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya mereka lebih cenderung melihat prestasi dan dasar yang digunakan oleh parti-parti politik dan hanya akan melibatkan diri dalam proses pilihanraya.



"Ini merupakan salah satu langkah bagi Malaysia untuk mencapai kematangan politik dengan mengurangkan extremist politic sekaligus menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi negara," katanya.


Beliau berkata, negara seperti USA dan Kanada, telah lama melibatkan golongan belia 18 tahun dalam proses pilihanraya yang mana menghidupkan lagi sistem demokrasi.


Rais Yatim dipetik sebagai berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaan Undi 18 sebelum negara benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.


“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).


“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.


“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya semasa program Ruang Bicara bertajuk Signifikan Parlimen dalam Pembinaan Negara Bangsa yang disiarkan menerusi sebuah saluran televisyen kerajaan.


Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusi oleh Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.


bottom of page