top of page

Gempa Bumi berskala 6.6 melanda Filipina, gegaran dirasai di sekitar Sabah dan WP Labuan

nabalunews

11 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU : Satu gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter telah berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 10:13 pagi tadi.


Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) gempa bumi pada kedalaman 632 kilometer (km) itu berlaku 154 km Tenggara dari Isabela City, Filipina pada kedudukan 6.1° Utara dan 123.3° Timur.


Gegaran dirasai di sekitar Sabah dan WP Labuan.


Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.


Di Kota Kinabalu, pekerja di bangunan Yayasan Sabah setinggi 28 tingkat dilihat bergegas turun untuk menyelamatkan diri sebaik merasai gegaran.


Bangunan Yayasan Sabah menempatkan pejabat Kumpulan Yayasan Sabah dan agensi kerajaan yang lain termasuk Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).

Kakitangan di bangunan Yayasan Sabah bergegas turun menyelamatkan diri sebaik merasai gegaran akibat gempa bumi

Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Sabah memaklumkan pasukan bomba telah menjalankan pemantauan dan pengungsian bangunan di sekitar daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Ranau dan Kota Belud selepas berlakunya gegaran akibat gempa bumi itu.


Di Kota Kinabalu, bomba menerima panggilan jam 10:40 pagi.


Sebanyak 3 pasukan bomba dan 3 buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat, BBP Kota Kinabalu telah digerakkan ke bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, DBKK, Wisma Wanita dan Menara Kinabalu.


Menara Kinabalu setinggi 182 meter yang menjadi pusat pentadbiran negeri Sabah menempatkan 33 tingkat pejabat kerajaan termasuk pejabat Ketua Menteri Sabah.


Jurucakap bomba memaklumkan kakitangan dan juga orang awam telah keluar dari bangunan terbabit dan berkumpul di tempat berkumpul yang telah dikhaskan.


Kakitangan bangunan berkenaan meminta bomba untuk hadir bagi membuat pengesahan keselamatan di bangunan itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page