top of page

Gempur Rasuah Perlu Diperkasa, Bukan Diperalat: Amk Sabah

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

22 Jun 2025


KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menolak keras tindakan membakar lukisan karikatur perdana menteri pada Himpunan Gempur Rasuah 2.0, hari ini.


Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, AMK Sabah menyokong usaha dan gerakan rakyat yang memperjuangkan integriti, ketelusan dan pembanterasan rasuah termasuk inisiatif demonstrasi Gempur Rasuah 2.0.


Katanya, semangat membanteras penyelewengan dan menuntut keadilan adalah sebahagian daripada denyut nadi perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).


“Bagaimanapun, AMK Sabah ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tegas terhadap tindakan membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Tindakan sebegini bukan saja tidak menghormati prinsip perbezaan secara matang dan beradab, bahkan bertentangan dengan semangat serta sejarah panjang perjuangan PMX sendiri dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa sejak 1998,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.


Menurutnya, perlu diingat, PMX merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten, tegas dan berani dalam membanteras budaya rasuah.


Katanya, ia bukan hanya dalam ucapan, tetapi melalui pelbagai reformasi institusi dan dasar ketelusan fiskal yang kini sedang dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI.


“Kami percaya, sebarang bentuk desakan rakyat haruslah dilakukan secara berhemah, berfakta dan membina, bukan dengan memperlekeh simbol pemimpin yang sedang menggerakkan perubahan yang nyata dalam pentadbiran negara.


“AMK Sabah kekal komited menjadi suara progresif anak muda yang memperjuangkan antirasuah, reformasi institusi dan pembinaan Malaysia yang adil dan bersih.


“Tetapi dengan pendekatan yang berprinsip, bijaksana dan tidak mempermainkan simbol yang disanjungi rakyat hanya demi retorik jalanan. Kita lawan rasuah, bukannya mencipta musuh baru,”katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page