Geng curi basikal tumpas di Tawau
- nabalunews
- Aug 7, 2024
- 1 min read

7 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Polis berjaya menumpaskan geng curi basikal di daerah ini selepas menahan dua suspek lelaki di dua lokasi berasingan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasukannya menahan suspek pertama,
seorang lelaki tempatan, 30, di kawasan Taman Ria 7 kira-kira jam 1 pagi dalam Ops Kesan.
"Penahanan lelaki itu kemudiannya membawa kepada penemuan tiga basikal pelbagai jenama yang disembunyikan di belakang rumahnya," katanya.
Menurutnya, suspek ditangkap sepasukan polis dari Strike Team Balai Polis Tawau selepas terlihat lelaki yang dikenalpasti terlibat kes jenayah curi, berada di hadapan rumahnya dalam keadaan mencurigakan.
Jasmin berkata, semasa didekati, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif tetapi berjaya ditahan.
Dua paket dadah jenis Syabu seberat 0.03 gram turut ditemui di dalam poket seluarnya.
Susulan penahanan lelaki itu, seorang lagi suspek lelaki tempatan, 51, turut ditangkap dalam serbuan di Kampung Tanjung Batu Sarat sekitar jam 1.30 pagi.
"Hasil serbuan itu, polis menemui sebuah basikal berjenama yang sudah diubahsuai dan disembunyikan di belakang rumahnya.
"Pemeriksaan lanjut ke atas suspek, dua paket plastik lutsinar berisi Syabu seberat 0.09 gram berjaya ditemui di dalam poketnya" katanya lagi.
Menurut Jasmin, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Syabu dan turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Comentários