Geng Pecah Kedai Remaja Diberkas
- nabalunews
- Mar 15
- 1 min read

15 Mac 2025
KOTA MARUDU: Lapan remaja diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk kedai dan kes curi yang berlaku di sekitar daerah ini.
Semua remaja berusia 13 hingga 17 tahun itu berjaya ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, bertindak atas laporan polis dan maklumat awam, pihaknya terus melancarkan Operasi Khas iaitu OP Kesan dan OP Pintu.
Katanya, operasi yang diketuai oleh Inspektor Bahrun Dining itu berjaya menahan semua suspek di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini.
“Semua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah Pecah Kedai dan Kes Curi yang berlaku di daerah ini.
“Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Simiun berkata, jika sabit kesalahan, semua suspek boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua.
Sehubungan itu, Simiun menyeru orang agar terus bekerjasama dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis dari semasa ke semasa.
”Pihak polis amat mengalu-alukan kerjasama dan maklumat orang awam dalam usaha membenteras dan menyelesaikan kes jenayah dan dadah khususnya di Daerah Kota Marudu dan Pitas.
“Usaha berterusan ini akan dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di daerah ini merasa selamat dan selesa di daerah ini,” katanya.
Comments