top of page

Gerakan koperasi boleh menjadi platform pembangunan keusahawanan komuniti desa - Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • Apr 6
  • 2 min read

Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.
Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

6 April 2025


PENAMPANG: Gerakan koperasi berpotensi besar menjadi platform utama dalam pembangunan keusahawanan di kawasan desa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 16,009 buah koperasi berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu 1,994 koperasi berdaftar di Sabah.


“Saya melihat sumbangan daripada gerakan koperasi ini dapat memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mampu membantu Kerajaan melakukan transformasi ke arah membela kesejahteraan dan kemakmuran sosioekonomi masyarakat setempat.


“Oleh itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited untuk mewujudkan insentif-insentif yang bersesuaian dengan keperluan usahawan dan koperasi di seluruh negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Putaton Jaya Berhad, di Amore Puru, di sini, hari ini.

ree

Koperasi Putaton Jaya Berhad adalah koperasi baru yang ditubuhkan oleh komuniti kampung Kg Putaton, Penampang dan sedang berusaha membangunkan perusahaan dalam bidang peruncitan, pertanian dan pelancongan termasuk menyewa tanah seluas empat ekar milik ahlinya untuk perusahaan tani.


Ewon berharap koperasi ini terus berkembang maju dan menjadi contoh kepada koperasi-koperasi baru yang lain.


“Selaku Ahli Parlimen Penampang, saya bersetuju menyalurkan peruntukan RM20,000 sebagai sumbangan galakan bagi koperasi ini mengembangkan perusahaan yang telah dimulakan,” katanya.


Dalam kunjungan tersebut, beliau turut melawat ruang pameran produk-produk keluaran ahli koperasi dan menggalakkan pemasaran digital bagi memperluas capaian produk ke pasaran lebih luas.


“Koperasi ini boleh mengambil peluang dengan membangunkan pemasaran secara maya untuk mempromosikan produk-produk tempatan,” katanya.


Ewon turut berkongsi kejayaan Koperasi Kinabalu Progresif di Penampang yang baru-baru ini melancarkan perusahaan kedai emas milik koperasi itu.

ree

“Saya ingin melihat lebih banyak koperasi berkembang maju, bukan sekadar penubuhan, tetapi juga dari segi pelaksanaan dan pencapaian,” katanya.


Dalam hal ini, katanya, KUSKOP melalui agensi-agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia akan terus memberikan sokongan termasuk dari segi peruntukan, latihan dan kemudahan lain kepada koperasi di seluruh negara, khususnya di Sabah.


“Saya juga telah melihat koperasi-koperasi lain di Sabah banyak berkembang dan sebab itu saya banyak mengadakan lawatan ke lapangan untuk meninjau sendiri perkembangan koperasi dan mengadakan libat urus.


“Sekiranya ada keperluan yang saya boleh bantu maka kita gunakan peruntukan yang bersesuaian di Kementerian ini ataupun di agensi seperti SKM untuk membantu koperasi-koperasi bukan hanya di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” katanya.


Mengenai peningkatan pendaftaran koperasi, Ewon berkata, sambutan memberangsangkan ini adalah hasil usaha KUSKOP dan agensi-agensinya melaksanakan pelbagai program merakyatkan koperasi sejak dua tahun kebelakangan ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page