top of page

GEREJA SIB LARANG UMATNYA HADIRI UPACARA MENGORBANKAN HAIWAN

  • nabalunews
  • Apr 28, 2021
  • 1 min read

Gambar hiasan

28 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Upacara mengorbankan haiwan sebagai simbolik perdamaian sempena perayaan Pesta Kaamatan negeri Sabah tahun ini bercanggah dengan kepercayaan Kristian.


Sehubungan itu kepimpinan Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah melarang semua umat gereja itu terlibat dalam upacara sedemikian.


Setiausaha Agungnya Pastor Thenny M.Ali dalam surat kepada semua ketua kawasan SIB Sabah bertarikh hari ini meminta kerjasama daripada semua Reverend/ Pastor atau Panatua untuk menyampaikan perkara ini kepada semua anggota SIB dalam kawasan masing-masing.


“Alkitab mengajar bahawa hanya Yesus Kristus korban yang mutlak sempurna dan berkuasa menebus manusia dari kuasa dosa (Ibrani 10:12). Hanya darah Yesus Kristus yang berkuasa mendamaikan manusia dengan Allah dan diperbenar dihadapan-Nya (Roma 3:24-25).


“Perdamaian antara sesama manusia wujud apabila kasih Kristus menguasai hati setiap orang (1 Yohanes 4:19)


“Oleh itu, kerjasama daripada reverend/pastor/ panatua untuk menyampaikan hal ini kepada semua anggota SIB dalam kawasan masing-masing amat dihargai,” katanya.


Upacara mengorbankan haiwan sebagai simbolik perdamaian sempena perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun 2021 akan dilaksanakan di beberapa tempat pada tarikh-tarikh tertentu.


Ia akan dilakukan di setiap ulu tujuh sungai besar di seluruh Sabah iaitu Sungai Pegalan-Padas-Klias, Sungai Tongod-Kinabatangan, Sungai Liwogu Telupid-Beluran, Sungai Kiulu-Tamparuli-Tuaran, Sungai Kiau-Tombotuon-Kadamaian Kota Belud, Sungai Moyog-Petagas dan Sungai Koiduan-Kimanis Papar.


Upacara itu akan disempurnakan oleh Bobolian yang dipilih oleh pihak berwajib.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page