Gereja SIB Lobong-Lobong, Serahkan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran di Kampung Melangkap Kapa
- nabalunews
- Mar 2
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
2 Mac 2026
KOTA BELUD: Seramai 10 orang Ahli Jawatankuasa Majlis Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Lobong-Lobong telah mengadakan lawatan kebajikan bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa, di sini, pada Ahad.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pastor Rechee Wesly dengan tujuan utama menyampaikan bantuan berbentuk makanan kepada keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini di kampung berkenaan. Kehadiran mereka disambut baik oleh penduduk setempat yang turut terkesan dengan musibah tersebut.
Menurut Pastor Rechee Wesly, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan pihak gereja terhadap komuniti setempat tanpa mengira latar belakang. “Kami hadir sebagai tanda sokongan moral dan untuk meringankan beban keluarga mangsa melalui penyampaian makanan asas,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut berharap agar bantuan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan harian mangsa sementara mereka berusaha membina semula kehidupan. Pihak gereja juga menegaskan komitmen untuk terus menjalankan aktiviti kebajikan demi kesejahteraan masyarakat sekitar.

Program ringkas tersebut berakhir dengan sesi doa dan penyerahan sumbangan kepada keluarga terlibat, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti di Melangkap Kapa, Kota Belud.















Comments