• Wartawan Nabalu News

GGPUA CADANG BEBERAPA KAEDAH KURANGKAN LAMBAKAN GRADUAN ISMP UA


Chonnel George

28 April 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) mengemukakan beberapa cadangan terdekat dan jangka panjang bagi mengurangkan lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Universiti Awam (ISMP UA) di negara ini.


Penggerak GGPUA Chonnel George berkata, antara cadangan terdekat ialah mencadangkan pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG 41 (Guru / Opsyen Umum) bagi graduan ISMP UA ke Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).


“Membuka laluan khas untuk menjadi guru ganti / kontrak melalui Short Term Employment Program (My STEP) dan mempertimbangkan opsyen minor untuk urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG 41,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam perbincangan bertajuk, “Lambakan Graduan Pendidikan di Universiti Awam” melalui Webiari yang dikendalikan Wisdom Foundation, baru-baru ini.


Chonnel berkata, cadangan jangka masa panjang pula ialah menyeragamkan syarat pengambilan guru di seluruh Malaysia iaitu sekurang-kurangnya mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam bagi Ijazah Pertama.


“Menyemak dan menstruktur semula ketidakpadanan opsyen, terutamanya opsyen yang kritikal di Sekolah Menengah Harian.


“Mewujudkan Subjek Pilihan Mengajar di MySPP (portal rasmi permohonan) bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG 41 di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya.


Katanya lagi, GGPUA juga memohon agar keutamaan diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam bagi sebarang urusan pengambilan guru, sama ada di Sekolah Rendah, mahupun Sekolah Menengah.


“Pada hemat GGPUA, langkah ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan pentadbiran dalam merekrut guru baharu, atas dasar semua graduan ISMP UA sudah dilatih sepanjang empat tahun pengajian dalam profesion perguruan, dan bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh Malaysia.


“Justeru, GGPUA memohon dan merayu kepada Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar dapat melihat isu ini lebih terperinci, serta dapat mencari titik penyelesaian sewajarnya, dengan menitikberatkan kerelevanan cadangan GGPUA,” katanya.


Chonnel berkata, berdasarkan tinjauan, setakat Januari 2020, sejumlah 4390 graduan ISMP UA yang masih menunggu panggilan penempatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG 41 di sekolah.


“Lambakan graduan ini adalah dari tahun 2011 sehingga Januari 2020, membabitkan 13 buah universiti awam di seluruh Malaysia. Angka-angka ini dijangka akan terus melonjak naik sekiranya tiada titik penyelesaian drastik diambil,” katanya.


Katanya lagi, ketidakpadanan opsyen seperti yang diperlukan oleh KPM menjadi penyumbang utama dalam peningkatan peratusan lambakan graduan ISMP UA setiap tahun.


“Pelbagai opsyen tidak dipanggil bertahun lamanya seperti pendidikan Muzik, Keusahawanan dan Perdagangan, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sejarah, Ekonomi, Fizik, Biologi, Kimia, Katering, Binaan Bangunan dan lain-lain, masih setia menantikan penempatan sebagai guru sehingga kini.


Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani isu lambakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Awam.


Turut menyertai perbincangan itu Pengerusi Eksekutif Wisdom Foundation yang juga Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau sebagai moderator, Mantan Menteri Pendidikan Malaysia Dr.Maszlee Malik (Ahli Panel), Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasii Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr.Rosliah Kiting (Pembentang 1) dan Chonnel sebagai pembentang kedua.