GISBH: KPM Ambil Alih Aspek Pendidikan Kanak-kanak Terjejas Mulai 1 Okt - Fadhlina
24 September 2024
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil alih aspek pendidikan bagi lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global mulai 1 Oktober ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata program pendidikan untuk kanak-kanak tercicir berkenaan, yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal sebelum ini, akan menggunakan modul khas di tempat perlindungan mereka sekarang.
"Proses pendidikan itu akan berlaku di tempat mereka dilindungi. Ketika ini mereka sedang melalui beberapa penilaian termasuk aspek 3M (membaca, menulis, mengira) dan psikososial.
"Selepas selesai semua sesi, baru KPM akan ambil alih bagi aspek pendidikan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM di sini, semalam.
Memetik laporan Bernama, Fadhlina berkata pendidikan berdasarkan modul khas itu mengikut tiga kohort iaitu prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Program pendidikan itu melibatkan pelaksanaan fasa pertama selama dua bulan dan akan dilanjutkan ke fasa kedua bagi bulan berikutnya sekiranya terdapat keperluan.
Fadhlina berkata pengambilalihan oleh KPM antara lain bertujuan memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pembelajaran sama seperti kanak-kanak lain.
"Kita ambil berat, kita ada komitmen tinggi untuk pastikan anak-anak ini mengikuti sepenuhnya pendidikan (kerana) kita bimbang sekiranya mereka ketinggalan sepanjang tempoh siasatan berkaitan," katanya.
Ditanya sama ada ibu bapa kanak-kanak itu akan diambil tindakan di bawah Akta Pendidikan 1996, Fadhlina berkata pihaknya akan meneliti perkara tersebut memandangkan mereka telah dinafikan hak untuk bersekolah dan mendapat pendidikan wajib.
"Pasukan undang-undang sedang teliti dan jika ada tindakan diambil akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menerusi Op Global menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun dalam serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi.
Comments