Gotong-royong dan Kebaktian Paskah Perkukuh Iman Komuniti SIB Lobong-Lobong
- nabalunews
- Apr 3
- 1 min read

Oleh Wartawan Nabalu News: Kidd
3 April 2026
KOTA BELUD: Dalam kalangan penganut Kristian, Jumaat Agung merupakan hari suci yang memperingati penyaliban Yesus Kristus, yang melambangkan pengorbanan, penebusan dosa serta kasih Tuhan terhadap umat manusia. Penghayatan hari ini lazimnya dizahirkan melalui ibadah, refleksi rohani dan amalan kebersamaan dalam komuniti gereja.
Seawal jam 6.30 pagi, penduduk Kampung Lobong-Lobong, Kota Belud telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Kristian sebagai tanda penghormatan serta persediaan menyambut Paskah. Aktiviti tersebut menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang berganding bahu memastikan kawasan itu berada dalam keadaan bersih, teratur dan terpelihara.

Pada jam 9.30 pagi, Kebaktian Kebangunan Rohani sempena Paskah Pertama telah berlangsung di Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Lobong-Lobong dengan tema “Penolakan”. Kebaktian ini memberi penekanan kepada renungan mendalam terhadap cabaran iman serta panggilan untuk kembali menghayati ajaran Kristus dalam kehidupan seharian.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak gereja turut merakamkan penghargaan kepada Ewon Benedick atas sumbangan sempena Paskah yang telah disalurkan pada 29 Mac 2026 lalu, melibatkan kira-kira 150 gereja di kawasan Kadamaian. Sumbangan tersebut disifatkan sebagai satu usaha murni dalam memperkukuh perpaduan serta kebajikan komuniti Kristian di daerah ini.















Comments