top of page

Gotong-Royong MADANI Kampung Sayap Sempena Bulan Kemerdekaan Tingkat Semangat Perpaduan

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 1 min read

ree

15 Ogos 2025


KOTA BELUD: Komuniti Kampung Sayap, Kota Belud, hari ini telah melaksanakan Program Gotong-Royong MADANI sempena sambutan Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Program ini merupakan inisiatif untuk memelihara kebersihan kawasan serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Pemaju Masyarakat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, yang hadir mewakili Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, kepada Pengerusi JKKK Kampung Sayap, Aming Gamburus, bagi menyokong keperluan penganjuran program berkenaan.


Menurut Aming, aktiviti gotong-royong tersebut melibatkan pembersihan kawasan perkuburan kampung, kerja-kerja meracun, serta pemotongan semak samun di sekitar kawasan kampung. Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara dan dalam keadaan teratur.

ree

Beliau menegaskan bahawa selain aspek kebersihan, program ini turut menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan, meningkatkan kerjasama komuniti, dan menyemarakkan rasa cinta terhadap tanah air.


“Kami amat menghargai sokongan berterusan daripada Datuk Ewon serta pihak UPPM Kadamaian. Sokongan ini memberi inspirasi kepada penduduk untuk terus mengamalkan budaya bergotong-royong demi kesejahteraan bersama,” ujar Aming.


Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk pelbagai peringkat umur, termasuk golongan belia, wanita, dan warga emas. Kehadiran serta penglibatan menyeluruh membuktikan bahawa semangat kerjasama dan perpaduan masih kukuh dalam kalangan komuniti Kampung Sayap.


Dengan keberhasilan penganjuran ini, JKKK Kampung Sayap merancang untuk menjadikan aktiviti gotong-royong sebagai acara berkala. Langkah ini selaras dengan aspirasi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, keharmonian komuniti, dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page