Gotong-Royong Menimbus Lubang di Sekitar Dewan Serbaguna Kampung Lasau Minunsud
- nabalunews
- 5 days ago
- 1 min read

7 Mei 2025
KOTA BELUD: Satu aktiviti gotong-royong telah diadakan di sekitar Dewan Serbaguna Kampung Lasau Minunsud.
Tujuan utama acara ini adalah untuk membaiki dan memastikan kawasan dewan dalam keadaan baik bagi menyambut Pesta Keamatan Peringkat Mukim Lasau.
Gotong-royong tersebut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Azman bin Petrus, bersama beberapa penduduk kampung termasuk ahli biro-biro JKKK Kampung Lasau Minunsud. Seramai 13 penduduk kampung turut hadir dan menyediakan sarapan pagi sebagai sokongan kepada semua peserta yang terlibat.

Aktiviti utama melibatkan penimbusan lubang-lubang sekitar kawasan dewan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna nanti. Sumbangan penting turut datang daripada Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Ahli Dewan Undangan Negeri N11 Kadamaian, yang telah menyumbang batu sebagai bahan penimbusan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Pusat Khidmat Adun N11 Kadamaian.
Usaha bersama ini diharapkan dapat memberikan manfaat dan memperkasa lagi semangat komuniti di Kampung Lasau Minunsud.
Comments