top of page

Gotong-Royong Perdana Kukuhkan Kesepaduan Komuniti Kampung Piasau

  • nabalunews
  • Aug 18, 2025
  • 1 min read

18 Ogos 2025


KOTA BELUD: Masyarakat Kampung Piasau telah melaksanakan Gotong-Royong Perdana anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Piasau dengan penglibatan aktif penduduk setempat. Program tersebut turut disertai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Saikom Watis yang hadir memberikan sokongan moral.


Pengerusi JKKK Kampung Piasau, Jolyhame Saran, memaklumkan bahawa fokus utama aktiviti kali ini ialah kerja-kerja pembersihan di kawasan perkuburan Kampung Piasau. Beliau menambah, inisiatif ini diadakan dua kali setahun bagi memastikan kebersihan dan keselesaan kawasan sentiasa terjamin.


Jolyhame turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua wakil keluarga yang hadir berganding bahu menjayakan program tersebut, di samping pihak yang menyumbang dalam bentuk kewangan, racun rumpai, makanan, minuman serta pelbagai keperluan lain.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada PPM Saikom atas kehadirannya bersama masyarakat serta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas sumbangan berterusan beliau terhadap pembangunan di kampung berkenaan.


Menurut beliau, Ewon bukan sahaja menyalurkan bantuan infrastruktur seperti pembinaan bangunan Tamu Desa, tetapi juga menunjukkan komitmen terhadap pembangunan rohani dengan menyokong rumah ibadat Kristian dan surau di kampung tersebut. Hal ini sekali gus menggambarkan keprihatinan pemimpin dalam menjaga kesejahteraan masyarakat secara inklusif.


Gotong-royong ini bukan sahaja bertujuan membersihkan kawasan, malah berfungsi sebagai wadah untuk mengukuhkan ikatan silaturahim antara penduduk. Suasana mesra dan kerjasama yang ditunjukkan menunjukkan nilai perpaduan yang tinggi dalam kalangan komuniti Kampung Piasau.


Program seumpama ini dijangka akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kelestarian persekitaran serta memperkukuh semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat kampung.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page