Gotong-Royong Perdana Tagal Tambulion Ulu Perkukuh Kerjasama Pelihara Sungai
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
26 Mac 2026
KOTA BELUD: Program Gotong-Royong Perdana membersihkan kawasan Tagal di Kampung Tambulion Ulu hari ini berjaya memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan komuniti setempat serta memelihara kelestarian sumber sungai.
Program yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari itu menyaksikan penyertaan aktif penduduk pelbagai peringkat umur, termasuk Ketua Kampung Daiman Basinau, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Boniface @ Doni Jiran, dan barisan Ahli Jawatankuasa Tagal.
Aktiviti pembersihan meliputi kerja membersihkan tebing sungai, membuang sampah, menebas semak samun, serta memastikan laluan ke kawasan Tagal selamat dan terurus.

Penganjur program, Sapilin Tunda, berkata inisiatif itu bertujuan menjaga kebersihan kawasan Tagal selain menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar serta mematuhi peraturan Tagal yang ditetapkan.
Sistem Tagal adalah kaedah pemuliharaan sumber perikanan sungai oleh komuniti setempat bagi menjamin keberkesanan usaha pemuliharaan secara berterusan.
Sementara itu, kepimpinan kampung yang diwakili Daiman merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas komitmen tinggi dan semangat kerjasama membanggakan.

Pengerusi JKKK turut berharap program seumpama ini diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan kawasan Tagal Tambulion Ulu terus terpelihara serta memberi manfaat berterusan kepada generasi akan datang.
Program berakhir dalam suasana harmoni dan penuh muafakat, menunjukkan kekuatan komuniti Tagal dan penduduk Tambulion Ulu dalam mempertahankan warisan alam.











