Graduan Sabah sambut baik program MySTEP
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Graduan Sabah sambut baik program MySTEP


Thasnim dan Rafiq.

6 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Penganjuran Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) yang julung kalinya diadakan di Sabah mendapat sambutan memberangsangkan daripada graduan tempatan.


Peserta dari Kota Belud, Thasnim Syafira Rosnawi, 24, berkata latihan selama dua minggu itu memberikan banyak pengetahuan baharu terutama dalam meningkatkan keyakinan diri dan teknik komunikasi berkesan.


“Pengalaman yang diperoleh sangat berharga dan menyeronokkan, sekali gus mempersiapkan diri sebelum penempatan bekerja dengan pihak industri.


“Di sini kami mempelajari tentang kemahiran-kemahiran insaniah secara percuma, yang biasanya akan dikenakan bayaran untuk program-program latihan yang sama di luar,” katanya.


Beliau yang juga graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Tamat Latihan MySTEP di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini baru-baru ini.


Menurut Thasnim, para graduan lain yang tidak berkesempatan pada kali ini harus merebut peluang sekiranya melihat iklan pengambilan MySTEP pada masa akan datang.


“Saya juga berharap agar program seumpama ini diteruskan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia di Sabah,” ujarnya yang bergraduat pada tahun 2021.


Sementara itu, graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Nur Rafiq Syafiq Izam Yahya, 23, memaklumkan bahawa program latihan MySTEP mempersiapkan para graduan dari semua segi untuk memasuki alam pekerjaan.


“Sebagai graduan yang baru menamatkan pengajian, kita terpaksa bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman dalam pencarian kerja.


“Namun melalui program ini, kita dilatih dan kemudiannya diberi peluang penempatan bekerja dengan pihak industri selama satu tahun.


“Seperti saya sendiri, selepas sesi temu duga yang menjadi salah satu pengisan sepanjang dua minggu program ini dijalankan, akhirnya saya telah memperoleh penempatan kerja dengan sebuah syarikat industri pembinaan yang berpusat di Kota Kinabalu,” ujarnya.


Pemuda berasal dari Sandakan itu turut menyifatkan usaha yang diperkenalkan kerajaan itu amat bertepatan dalam mengatasi kadar pengangguran di Sabah.


“Pada enam bulan pertama, gaji kita akan dibiayai melalui Syarikat Britay Asia (M) Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana program MySTEP.


“Sekiranya pihak industri melihat personaliti dan kualiti hasil kerja yang baik, mereka mungkin menyerapkan kita untuk bekerja tetap,” kata Rafiq.


MySTEP merupakan salah satu program Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.


Ia ditaja oleh Khazanah Nasional serta dilaksanakan bersama oleh syarikat Britay Asia (M) Sdn. Bhd. dan Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page