Lapan Individu Dijatuhi Hukuman Penjara dan Denda di Semporna – Empat Diserahkan Kepada Imigresen
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
9 April 2026
SEMPORNA: Seramai lapan individu dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Semporna atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, pemilikan dadah, melupuskan harta curi, serta gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan pemilikan barang larangan.
Kesemua hukuman diputuskan oleh Hakim Yang Arif Tuan Don Stiwin Malanjum, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah.
Bagi kesalahan positif dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Amsuddin Abdul Majid (47 tahun) dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara tujuh bulan serta dua tahun pengawasan polis.
Manakala Halim Nasirin (40 tahun) dan Mohd Saifuddin Safar (30 tahun) masing-masing dihukum penjara sembilan bulan dan selepas selesai menjalani hukuman akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Bagi kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, Fajar Sulaiman (30 tahun) yang memiliki 1.27 gram dadah dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen. Hama Osman (56 tahun) yang memiliki 4.67 gram dadah dihukum penjara 14 bulan dan turut diserahkan kepada Imigresen.
Sementara itu, Mohammad Asahad (42 tahun) yang hanya memiliki 0.08 gram dadah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan tanpa serahan kepada Imigresen.
Bagi kesalahan lain, Mohammad Rafie Amil Salleh (27 tahun) didapati bersalah di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan. Razman Mohd Haya (26 tahun) pula didapati bersalah di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kanun Keseksaan Negeri Sabah (OKKNS) kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan pemilikan barang larangan dan dikenakan denda RM100.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited dalam membanteras aktiviti jenayah khususnya berkaitan dadah yang memberi kesan negatif kepada masyarakat.
"Orang ramai diseru untuk terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.















Comments