GRS AKAN BINCANG DENGAN PH KERJASAMA PRN17
- nabalunews
- Apr 19
- 2 min read

19 April 2025
SANDAKAN : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagaimanapun berkata, setakat ini masih belum ada tarikh bila perbincangan antara kedua-dua pihak akan diadakan.
"Kita dalam kerajaan sekarang, insyAllah dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH," katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, disini, pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri.
Hajiji turut mengulangi pendiriannya mengenai siapa yang sepatutnya menawarkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah, baru-baru ini.

Katanya, sebagai parti yang menerajui kerajaan GRS-PH Plus ketika ini, rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu akan ditentukan mereka.
"Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.
"Jadi, walau bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita.
"Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti," katanya.
Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu, Hajiji membayangkan bahawa GRS tetap memilih PH sebagai rakan kerjasama walaupun BN Sabah mengumumkan bekerjasama dengan PH.
Sementara itu, majlis Aidilfitri yang dihadiri kira-kira 5,000 tetamu itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada beberapa jemputan.
Selain itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 74 pelajar, guru dan kakitangan Maahad Tahfiz serta anak-anak yatim.


















Comments