GSSA Oneshot Dinobat Juara Pertandingan Challenge Double Dart D’Tolungo 2025
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

22 Oktober 2025
KOTA BELUD: Pasukan GSSA Oneshot dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Pertandingan Challenge Double Dart D’Tolungo yang berlangsung di D’Tolungo Café, Kaung Malaan Kadamaian, Kota Belud. Acara ini telah dianjurkan oleh Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud dan dirasmikan oleh Setiausahanya, Joel Ewel Deukin.
Dalam ucapannya, Joel menegaskan bahawa aktiviti kesukanan seperti ini bukan sahaja berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah turut menjadi wadah riadah sihat yang mampu menyatukan pelbagai peringkat umur serta jantina. Beliau juga menyatakan komitmen UPKO untuk terus menyokong penganjuran program berunsur pembangunan komuniti dan sukan di daerah ini.
Pertandingan tersebut telah menarik penyertaan sebanyak 26 pasukan yang berentap dalam suasana penuh semangat dan persaingan sihat. Hasil daripada permainan yang konsisten dan strategi mantap, pasukan GSSA Oneshot berjaya menewaskan lawan-lawan lain untuk muncul sebagai juara.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan GSSA RD, manakala tempat ketiga bersama diraih oleh pasukan GDT PJ dan D’Tolungo Quya.
Pengerusi Penganjur, Eddy Bakait, dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penyokong yang hadir bagi memeriahkan acara tersebut. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Presiden UPKO Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas sokongan dana dan galakan berterusan terhadap aktiviti sukan tempatan.
“Pertandingan ini bukan sahaja menonjolkan bakat dan kecekapan peserta dalam sukan dart, malah turut memperkukuh semangat perpaduan serta kerjasama antara komuniti. Kami berharap acara seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu platform pembangunan sukan di Kota Belud terutamanya di Kadamaian” katanya.
Penganjuran pertandingan ini secara tidak langsung memperlihatkan komitmen penganjur dan masyarakat setempat dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan sosial melalui aktiviti sukan berasaskan komuniti.
Comments