Guan Eng: Bagaimana Azam Baki terlepas tuduhan SICDA?
top of page
  • Farah Salim

Guan Eng: Bagaimana Azam Baki terlepas tuduhan SICDA?


Lim Guan Eng.

19 Januari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) yang gagal membuktikan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki telah melakukan pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).


Beliau turut menyoal bagaimana SC boleh melaksanakan kewajipan berkanunnya jika SC tidak dapat mengesahkan bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) sedangkan Azam secara jelas dan terbuka mengakui dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi.


“Seksyen 25(4) SICDA telah melarang perdagangan saham secara proksi dengan memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik sebenar atau penama yang diberi kuasa.


“Dalam kenyataan SC semalam, tidak mendedahkan sama ada adik Azam mempunyai akaun dagangan saham pada masa yang sama, dan jika ada, terdapat keperluan untuk dagangan saham secara proksi serta sumber dana untuk pembelian itu,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.


Tambah beliau, Azam merupakan pemegang waran yang penting dalam syarikat tersenarai awam Excel Force MSC Sdn Bhd setakat Mac 2016, semasa beliau menjadi ketua Jabatan Siasatan SPRM.


“Dalam akaun dagangan sahamnya, Azam telah membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti yang boleh dipegang oleh penjawat awam.


“Sekiranya SC tidak dapat bertindak ke atas dagangan saham secara proksi, maka ia perlu menjelaskan tindakan yang diambil terhadap sekurang-kurangnya tiga individu yang didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 25(4) SICDA dengan denda jutaan ringgit pada masa lalu.


“Ini secara jelas adalah satu amalan antara dua darjat. Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah mereka bayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?”


Katanya, melainkan SC boleh bertindak terhadap Azam, Seksyen 25(4) SICDA kini “menjadi seperti harimau tidak bertaring dan tidak berguna lagi.”


Menurut beliau, isu ini sudah tentu akan memberi kesan kepada pasaran modal Malaysia.


“Bukan hanya keyakinan pelabur akan hilang, tetapi ini juga meletakkan SC serta penubuhannya dalam kedudukan yang meragukan, sama ada SC mampu melaksanakan tugas undang-undangnya tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

bottom of page