Guna akaun keluarga tanpa kebenaran, lelaki tempatan ditahan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

20 Mei 2025
TUARAN: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan selepas didapati melakukan transaksi kewangan tanpa kebenaran melibatkan akaun bank ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata, suspek ditahan pada jam 6.30 petang, 16 Mei lalu, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran susulan laporan yang diterima daripada mangsa.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek memindahkan wang berjumlah RM10,000 daripada akaun bank milik birasnya ke akaun ibunya pada 20 November tahun lalu tanpa pengetahuan atau kebenaran kedua-dua pihak terbabit.
“Suspek kemudian mengeluarkan wang tersebut menggunakan kad bank ibunya yang berada dalam simpanannya tanpa keizinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraidin berkata, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mengikut Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan kerana menggunakan akaun atau instrumen pembayaran milik individu lain tanpa kuasa yang sah
Menurutnya, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun, atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau kedua-duanya sekali.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan akaun bank dan instrumen kewangan, sama ada membabitkan pihak luar atau individu terdekat atau pun ahli keluarga.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menggugat kepercayaan dalam institusi kekeluargaan dan kewangan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam melindungi maklumat perbankan, tidak berkongsi akses akaun dengan mana-mana pihak termasuk individu terdekat, serta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang transaksi yang mencurigakan.
Comentários