• Wartawan Nabalu News

Guna “hutang terkumpul” Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112 C&D biayai Projek Khas Pasca Covid


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar membentangkan Belanjawan Khas Pasca Pandemik Covid-19 dan dibiayai melalui “hutang terkumpul” Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan.


“Saya mengharapkan belanjawan negeri yang betul-betul dapat mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi rakyat Sabah pasca pandemik Covid-19 serta peluang memperkenalkan agenda-agenda reform untuk resetting ekonomi Sabah. Bagaimanapun, ianya tidak terserlah dalam belanjawan yang telah dibentangkan.


“Apapun, Kerajaan Negeri sentiasa boleh membentangkan supplementary budget seawal suku kedua tahun hadapan. Justeru saya mencadangkan supplementary budget Belanjawan Khas Pasca Pandemik Covid-19 khas untuk melaksanakan projek-projek “game-changer” kepada rakyat khususnya di luar bandar.


“Saya mencadangkan Belanjawan Khas tersebut melalui jaminan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan di mana Kerajaan Persekutuan masih mempunyai “hutang terkumpul” kepada Kerajaan Negeri kerana gagal memberikan 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya.


Ewon menggesa Kerajaan Negeri untuk mengambil pendekatan agresif bagi memastikan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan (constitutional responsibility) di bawah Perkara 112 tersebut.


“Jika perhitungan kita ke atas pungutan semula 40 peratus hasil Persekutuan di bawah Perkara 112 C&D adalah sebanyak RM 5 bilion, maka Belanjawan Khas tersebut boleh dibentangkan untuk jumlah tersebut. Jika perhitungannya lebih besar, maka Kerajaan Negeri boleh membentangkan Belanjawan Khas yang lebih besar.


“Seterusnya Kerajaan Persekutuan boleh lupuskan (write off) pinjaman ini menggunakan hutang terkumpul mereka kepada Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan projek-projek di bawah belanjawan khas tersebut adalah untuk menaiktaraf jalan-jalan perhubungan luar bandar, menaiktaraf kemudahan dan fasiliti kesihatan dan sekolah serta menaiktaraf bekalan air dan elektrik termasuk melalui kaedah alternatif serta liputan telekomunikasi.


Beliau menyatakan bahawa Belanjawan Khas tersebut tidak seharusnya merangkumi senarai projek di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12) atau senarai projek biayaan Kerajaan Negeri yang sudah dibajetkan.


“Saya mencadangkan agar perkara ini dibawa ke sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana platform DUN adalah yang terbaik bagi pimpinan Sabah memuktamadkan tuntutan kita ke atas hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


“Sudah bertahun-tahun lamanya Kerajaan Negeri akur dan tunduk kepada percaturan Kerajaan Persekutuan. Kini tiba masanya Kerajaan Negeri harus mencatus memastikan Kerajaan Persekutuan tunduk kepada kita. Rakyat Sabah memerlukan kepimpinan Kerajaan yang progresif dan agresif untuk menyediakan kemudahan-kemudahan berkualiti agar mereka boleh bangkit semula melalui aktiviti ekonomi baharu,” katanya.


Ewon turut mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Ekonomi Sabah dibentuk bagi memurnikan program-program khas pemulihan dan kebangkitan ekonomi termasuk Belanjawan Khas Pasca Pandemik Covid-19 dan seterusnya penubuhan jawtankuasa-jawatankuasa khas di peringkat DUN bagi setiap Kementerian bagi memperkasakan tadbir urus semak dan imbang ke atas pelaksanaan Belanjawan.


Berkenaan dengan Belanjawan Sabah 2022 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri selaku Menteri Kewangan pada 3 Disember 2022, Ewon menyifatkan belanjawan tersebut sebagai belanjawan konservatif yang lebih kurang sama dengan belanjawan-belanjawan yang dibentangkan pada tahun-tahun sebelumnya.


Ewon menyatakan demikian semasa membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di sidang DUN yang sedang berlangsung pada hari ini sehingga Khamis.