top of page

Guna 'Runner' Hantar Dadah, Sindiket Telipok Ria Tumpas

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


24 Februari 2026


TUARAN: Operasi serbuan selama tujuh jam di kawasan perumahan yang padat penduduk di Telipok Ria, Jumaat lalu, membawa kepada penahanan sembilan suspek lelaki.


Selain itu, pasukan operasi turut berjaya merampas dadah sintetik bernilai RM250 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.


Serbuan di lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penyalahgunaan dadah itu dilaksanakan Pasukan Khas Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dan IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.


Hasil pemeriksaan ke atas 20 individu yang disaring dalam Ops Gempur Khas itu, pihak berkuasa telah menahan lima individu kerana memiliki dadah, manakala empat lagi positif methamphetamine dan amphetamine.


Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil, mengesahkan bahawa semua suspek ditahan berusia antara 20 hingga 40-an itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan penjualan secara kecil-kecilan di kawasan perumahan berkenaan.


"Dadah seberat 1.27 gram yang dirampas ini dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan yang masih aktif.


“Suspek dipercayai juga menggunakan taktik mengubah waktu operasi dan menggunakan perantara bagi mengelak daripada dikesan," katanya dalam kenyataan media semalam.


Operasi yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 10 malam itu menyaksikan pasukan serbuan turut memeriksa sebuah premis yang disyaki menjadi tempat transit pengedar.


"Kebanyakan pelanggan yang mendapatkan bekalan di kawasan ini dikenal pasti bukan penduduk setempat, sebaliknya datang dari kawasan luar Telipok. Ini menunjukkan lokasi ini dijadikan titik transit edaran," jelas Alhusin.


Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Pihak polis turut giat memburu beberapa individu lain yang dipercayai dalang utama sindiket ini.


Dalam pada itu, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan najis dadah di kawasan masing-masing.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page